Monday, November 23, 2009

Keropok lekor

Hampir setiap petang selepas kuliah, kami bertiga akan singgah di kafe. Han, terutamanya sangat suka membeli kuih muih untuk minum petang. Kadang-kadang Han akan membungkus dan membawa balik untuk dikongsikan bersama rakan-rakan sebilik.

Saya pula amat berkira dengan perkara-pekara "Add value" seperti itu. Duit saku kiriman dari abah cukup-cukup untuk keperluan dan perbelanjaan untuk pelajaran. Buku, fotostate nota, kertas A4, binding assignment dan berbagai keperluan lain memaksa saya betul-betul mengambil kira kos kenaannya. Mak selalu berpesan agar tidak bermewah-mewah. Makan sahaja makanan yang ada walaupun nasi kawah!

Saya amat bersyukur kerana mempunyai rakan yang baik hati dan suka berkongsi. Namun, saya berusaha sedaya upaya untuk tidak mengambil kesempatan ke atasnya.

"Han, saya kena balik ke bilik segera..ada hal. Pergi dulu ya"

"Ok. Nanti saya hantar kuih ke bilik.."

"Tidak payah. Jangan susah-susah"

Lalu, saya bergegas-gegas pulang ke hostel. Seboleh mungkin cuba menjauhkan diri agar tidak termakan budi dengan menerima pelawaan minum petang secara percuma hampir setiap hari.

Di bilik, saya akan menjerang air dan membuat secangkir kopi-O panas di cicah dengan biskut kering. Selalunya saya minum sendirian tetapi kadang-kadang minum secara berjemaah. Apabila ada kelapangan, rakan sebilik dan jiran sebelah bilik akan datang bertandang untuk minum petang sambil bersembang-sembang.

"Semalam akak beli keropok lekor. Buruk benar rupanya...he..he"

"Rasanya macamana? Sedap ke?"

"Sedap..engkau kena cuba rasa semua. Lain negeri lain makanannya"

Suatu hari, seperti kebiasaannya selepas selesai kuliah kami singgah di kafe. Petang itu saya telah bernekad untuk merasa salah satu makanan popular di negeri pantai timur iaitu keropok lekor. Saya bawa sekeping duit seringgit dan bercadang membeli bungkus untuk di bawa pulang. Sedang kami menunggu giliran, tiba-tiba sekumpulan pelajar lelaki datang menyerbu. Mereka memotong giliran dan semua keropok lekor yang ada habis di borong oleh mereka.

"Anak boleh tunggu ke? Sekejap sahaja Mak cik pergi goreng lagi keropok lekor itu."

Saturday, November 21, 2009

Kakak Angkat


Sebelum melangkah ke universiti, saya pernah berjanji kepada diri bahawa suatu hari nanti saya ingin menjadi kebanggaan keluarga terutamanya buat mak, abah dan Mak Wa. Saya ingin melanjutkan pelajaran setinggi mungkin dan kalau boleh di luar negara.

Namun, fenomena yang sedang melanda diri membuatkan saya menjadi takut. Terdapat sedikit "culture shock" terutama apabila berhadapan dengan perubahan mendadak untuk menjadi remaja yang "dewasa". Dikatakan di universiti segala keputusan perlu bertindak sendiri. Berdikari.

Saya perlu menjadi dewasa apabila berhadapan dengan cemuhan orang. Belajar untuk tidak cepat melatah apabila di sergah. Mengenal diri sendiri. Mengimbangi di antara pelajaran dan pergaulan yang tidak lagi di kawal oleh ke dua orang ibubapa. Saya perlu bertindak dan bersikap bijak apabila tekanan perasaan seorang remaja datang melanda.

Mak selalu berpesan agar sentiasa berhati-hati memilih kawan kerana kadang-kadang kawan kita yang paling baik adalah merupakan musuh yang paling ketat. Terutamanya apabila kita sudah tidak lagi sehala. Kawan rapat itulah selalunya yang mengetahui banyak rahsia. Jangan sampai mengharapkan pagar, nanti pagar yang makan padi.

Persepsi orang terhadap kita banyak bergantung kepada siapa yang menjadi rakan-rakan pergaulan kita. Jadi, memang diakui bahawa saya sangat berhati-hati memilih teman sejati.

Suatu hari minggu, bilik saya dikunjungi oleh sesaorang . Saorang kakak yang hanya beberapa semester sahaja senior daripada saya. Masih muda belia. Jika di ukur dengan ketinggian, saya nampak seperti kakaknya.


"Kak Pah dah lama memerhati.. suka tengok awak. Bolehkah kak Pah menjadi kakak angkat?"


Entah kenapalah mesti ada kakak angkat atau adik angkat. Pada pandangan saya jika sekadar perbezaan umur setakad setahun dua, saya menganggapnya sebagai sebaya. Namun, kemungkinan ada baiknya juga jika mempunyai kakak angkat ni..diri terasa lebih muda!

Cuma saya mempunyai pandangan yang berbeza berkenaan kakak angkat kerana saya sangat tidak suka jika terikat. Saya bimbang tindak tanduk yang bakal saya lakukan nanti hanya kerana terpaksa atau ingin menjaga hati serta air mukanya.

Saya pernah mendengar cerita Kak Long Pidah semasa beliau bersekolah berasrama penuh bagaimana fenomena kakak atau adik angkat itu jika tiada had garisannya ia boleh membawa kepada porak puranda. Kadang-kala hubungan mereka menjadi tersangat akrab hingga melebihi kasih sayang keluarga.

"Emmm..boleh beri saya peluang untuk berfikir dahulu. Bolehkah kak Pah menunggu?"

"Tentu sahaja. Kak Pah berbesar hati jika awak sudi menerimanya"

"Tunggulah..kerana saya juga akan sabar menunggu"

Thursday, November 19, 2009

Hidung Tak Mancung

Dua bulan pertama berada di ITM kampus Sura Hujung, perasaan saya masih tidak seimbang. Banyak perkara baru yang saya ingin dan perlu tahu. Ada masanya saya akan bertanya. Namun, selalunya saya hanya berdiam diri, berfikir dan cuba membuat analisa sendiri.

Pernah suatu petang ketika kami bertiga berada di kafe, sekumpulan rakan sekelas abang Lu'E datang menghampiri meja kami. Mereka bercerita;

"Betulkah kata abang Ind awak tidak suka kepada Lu'E?"
Seorang abang menujukan soalan kepada saya. Saya terpinga-pinga kerana jawapannya tidak pernah ada di dalam diri. Saya sendiri tidak tahu bahawa saya pernah berkata begitu. Pada ketika itu - pada hemat saya - mendiamkan diri lebih baik dari berkata tanpa tahu hujung pangkal.


"Lu'E baik hati orangnya. Kami yang bodoh-bodoh ini semuanya di bantu. Dia selalu bagi peluang kami meniru jawapan kertas ujiannya"
Namun setiap kali rakan-rakan abang Lu'E menyatakan sesuatu tentang dirinya, seboleh mungkin saya menguatkan hati dengan berkata:

"Jangan percaya.. jangan percaya dengan cerita yang belum tentu benarnya"
Pada suatu masa yang lain, saya di tegur oleh beberapa orang pelajar senior ketika sedang melintasi hostel siswi. Saya tidak pula ingin mengetahui entah program apa yang diikutinya. Tetapi lagaknya tegas dan berani sekali;

"Saya dengar orang kata awak sedang mengurat abang Lu'E?"
Ya Allah! Siapakah sebenarnya yang membuat plot cerita sehingga saya sendiri keliru. Tidak tahu apakah yang sebenarnya sedang berlaku.


"Dengar sini baik-baik.. abang tu kepunyaan seseorang. Jangan sampai nanti ada orang berkata, hidung tidak mancung, pipi pula tersorong-sorong.."

Bukan itu sahaja - malah di mana-mana - ada sahaja amaran demi amaran yang di sampaikan samada secara terang atau tersembunyi kepada saya. Saya pernah menerima nota yang di kirim oleh sesaorang yang tidak dikenali ketika berada di library. Saya pernah menerima amaran yang terpapar di papan hijau di bilik kuliah. Ia tertulis dengan huruf besar.


PINGGAN TIDAK RETAK
NASI TAK DINGIN
ORANG TIDAK HENDAK
JANGAN PULA KITA TERINGIN-INGIN..

Entah siapalah abang Lu'E itu agaknya. Kalaulah saya boleh menerima pakai data-data yang dikumpulkan.. pasti abang Lu'E itu kalau tidak seorang Cassanova pasti dia adalah seorang Don Juan yang kerjanya asyik mempermainkan perasaan perempuan.

Tetapi amaran yang di terima amat menguris hati dan perasaan. Walaupun nampak pada zahirnya saya seperti tidak peduli, namun sedikit sebanyak ianya memberikan kesan di dalam hati. Untuk mengurangkan sedikit tekanan perasaan, lalu saya kongsikan bersama teman yang agak rapat. Beliau adalah jiran sebelah bilik di hostel.

"Ah! Kalau akak.. kau mengurat betul-betul abang Lu'E tu. Biar padan muka mereka!

Wednesday, November 18, 2009

Cerita orang

Setiap kali selepas habis kuliah, kami bertiga akan ke library. Kami akan menyudahkan kerja-kerja yang diberikan oleh pensyarah seberapa segera yang mungkin. Atau kami akan menyalin mana-mana nota yang tertinggal sewaktu di dalam Lecture Theater.

Saya memang mengakui bahawa agak lambat sedikit untuk menangkap pengajaran yang diajarkan oleh pensyarah di Lecture Theater yang besar itu. Saya sentiasa berusaha untuk duduk di hadapan. Jika terlambat sedikit, maknanya duduk di barisan belakang nanti saya harus membuka seluas-luasnya telinga dan mata.
"Helo, tiga sekawan.."
Tegur seorang abang yang sering kami bertembung di dalam library. Katanya beliau adalah di dalam semester akhir pengajian perakaunan, juga sekelas dengan abang fasilitator 2 dan abang biasiswa.
"Kami semua rapat macam adik-beradik. Eh, boleh abang Ind tanya satu perkara..betul ke awak tidak layan abang Lu'E? [abang biasiswa]
Tiba-tiba pertanyaan itu ditujukan kepada saya.
"Siapa kata..merepeklah abang Ind. Dia.. kenal pun tidak kepada saya"

"Abang kas [abang fasilitator 2] yang kata.."

"Kenapa pula saya nak layan dia?"

"Eh, dia tu susah hendak sukakan perempuan. Perempuan yang suka kepada dia ramai...heee..heee..he"
Abang Ind mengeluarkan kenyataan yang tidak di minta. Selalunya beliau akan menyudahi setiap kenyataannya dengan hilaian tawanya seperti kuda. Bagaimana mungkin orang akan mempercayai setiap tuturkatanya.
"Suka hati dia lah. Asalkan saya tidak termasuk di dalam golongan perempuan yang ramai itu"
Abang Ind banyak membantu kami mengatasi kebuntuan pelajaran dan juga memberikan tips-tips berguna tentang pembelajaran di universiti. Cuma, apabila beliau cuba menyampaikan mesej berkenaan abang Lu'E..saya langsung tidak masuk ke hati!

Suatu hari abang Ind datang ke library bersama-sama abang Lu'E. Mereka terus sahaja duduk di meja berhadapan kami bertiga. Tiba-tiba abang Lu'E bertanya;
"Study apa awak semua?"

"Accounting...susahlah!"
Yat menjawab ikhlas dari hati. Kami semua mengangguk-angguk setuju dengan pengakuan Yat itu.
"Topik yang mana satu?"
Lalu, abang Lu'E mencakar-cakar dan menerangkan kepada kami semua. Bukan itu sahaja, beliau terus ke bilik kertas soalan peperikasaan semester-semester lepas. Mengambil satu dari set soalan sebagai contoh, menerangkan kepada kami tanpa di minta.
"Jelas? Senang sahaja belajar di universiti ini. Banyakkan buat latihan soalan-soalan semester yang lepas. Kalau tidak faham..pergi segera bertanya kepada lecturer"
Beliau bangun lalu bergegas terus ke kelas tanpa sempat kami mengucapkan apa-apa. Abang Ind berlari-lari anak mengejar di belakangnya. Saya terpinga-pinga. Tidak ada sedikit pun tanda-tanda bahawa abang Lu'E menyukai saya.

Benarlah kata orang, cerita orang kita jangan terus percaya sebelum tahu kebenarannya. Jangan mudah terpedaya.

Monday, November 16, 2009

Segalanya pertama kali

Sepanjang semester pertama saya berkawan baik dengan rakan sekelas iaitu Han dan Yat. Kami sering bertiga walau ke mana-mana namun tidak tinggal di dalam hostel yang sama. Han dan Yat berasal dari Kuala Lumpur. Remaja bandar yang segalanya lebih terkini berbanding dengan saya. Diam-diam saya sebenarnya banyak bergantung kepada mereka.

Walaupun Yat adalah anak kelahiran kota raya tetapi saya kira beliau datangnya dari keluarga yang sederhana. Tidak sombong dan saya amat senang sekali dengannya.

Han adalah anak sulung yang berasal dari sebuah keluarga berada. Percakapan, pemakaian malahan peralatan alatulis, fail dan semua benda yang digunakannya dapat mengambarkan kedudukannya. Memang beliau ada gaya. Namun, beliau tidaklah pula menunjuk-nunjuk dengan kekayan yang dimiliki oleh keluarganya.

Pernah suatu ketika, keluarga Han datang melawatnya. Mereka datang dengan sebuah kereta yang besar, gagah dan bergaya. Dengan melihat dari luar tingkapnya sahaja saya dapat membayangkan betapa empuk kerusi kusyen di dalamnya.
"Kenapa nama kereta itu singkat sahaja. BMW?"

Han dan Yat senyum sahaja. Tiba-tiba ibu Han mempelawa.
"Marilah ikut untie dan uncle keluar makan"

"Terima kasihlah untie. Kami sudah makan di kafe tadi"
Saya cuba menolak perlawaan dengan penuh sopan, walaupun di dalam hati teringin sekali menduduki kusyen empuk kereta yang ada di hadapan mata. Ingin sekali. Yat mencubit peha, sakitnya tidak terperi. Bapa Han pula berkata;
"Alah..tidak mengapa. Kita keluar jalan-jalan sahaja"
Akhirnya kami bersetuju.

Pertama kali duduk di dalam kereta sedemikian rupa, menghidu harum wangian dan menghirup udara sejuk dari penyaman udara, hati terkenang kepada kereta Morris Marina abah.[click di sini] Kereta kami tiada penyaman udara. Setiap kali kereta bergerak, tingkapnya sengaja di buka seluas-luasnya. Apabila kereta di pandu laju pasti angin akan masuk ke dalamnya menderu-deru. Jika hujan, cermin tingkap terpaksa dinaikkan. Jadi, pasti kami akan berpeluh-peluh dan cermin tingkap kelihatan meruap-ruap kerana udara terperangkap dari dalam. Namun, itulah kebanggaan kami semua. Banyak jasa kereta itu kepada kami sekeluarga.
"Wah cantiknya tempat ni.."

"Ya..inilah Tanjong Jara Resort. Awak nak makan apa?"
Saya terfikir-fikir apakah makanan yang di jual di dalam resort yang serba mewah seperti itu. Negeri Terengganu adalah tempat ikan, barangkali itulah menjadi sumber bahan makanan utama.
"Keropok ikan"

"He..he..he nanti kita tenguk apa yang ada"
Ibu bapa Han membawa kami ke restoran di dalam resort itu. Terbeliak mata saya melihat makanannya berbaris-baris, bertingkat-tingkat malah berjenis-jenis. Subhanallah! Manusia jenis apakah yang dapat makan kesemuanya!
"Makanlah mana-mana yang awak semua suka. Buffet"
Saya terasa janggal sekali. Terasa seperti seekor ayam kampung yang terlepas masuk ke dalam kelas di Sekolah kebangsaan Paya Jakas.[click di sini] Terpinga-pinga.
"Macamana hendak mulakan ya?"

"Cubalah dengan starter. Prawn cocktail, cream of mushrom atau Tomyam"

Han memberikan cadangan.
"Tomyam sahaja lah.."

Saya membuat keputusan tanpa dapat mengambarkan bagaimanakah rupanya makanan yang dicadangkan. Lalu, mencapai semangkuk kecil tomyam yang diberikan oleh Han. Saya merenung dalam. Mencapai sebatang sudu, menyenduk dan melihat ramuan yang ada. Subhanallah! Ikan, ayam, udang, daging, serai, hirisan bawang serta sayur-sayuran yang beranika rupa terdapat di dalamnya. Semuanya di dalam bekas yang sama! Tidak terfikir bahawa saya diberikan peluang oleh Allah untuk menikmatinya.
"Bismillahirahman nirahhim.."
Saya hirup perlahan tomyam yang suam ke dalam mulut perlahan-lahan dan hati tidak berhenti-henti memuji-muji Allah penuh kesyukuran. Tiba-tiba teringat mak, abah, adik-adik dan Mak Wa. Apakah juadah yang sedang di makan oleh mereka.[click di sini]
"Ya Allah. Selama ini diri ini di ajar makanlah apa yang terhidang di depan mata dengan ala kadar sahaja. Terima kasih Allah. Mudah-mudahan makan ini memberikan berkat dan menambahkan keimanan dan ketakwaanku kepadaMu.

Ya tuhan, berikan kesempatan suatu waktu nanti akan ku kongsikan makanan seperti itu.."
Di dalam diam, air mata jatuh perlahan-lahan. Mencapai sehelai tisu dan mengesatnya tanpa pengetahuan mereka. Hati berbisik sambil merenung ombak pantai Tanjung Jara yang indah permai.
"Jemput makan mak. Jemput makan abah. Jemput makan adik-adik. Jemput makan Mak Wa..."

Saturday, November 14, 2009

Pertemuan Pertama

Malam itu Maxxx dan rakan baik yang dikenali semasa minggu silaturahim menghantar saya ke Sura Gate, Dungun. Perhentian bas terletak di hadapan sebuah restoran. Saya dapati ramai siswa-siswi freshie pulang selepas seminggu mengharungi minggu silaturahim. Suasana hinggar bingar, namun mereka semua nampak ceria untuk bertemu keluarga.

Hari itu saya menyarung seluar berwarna merah samar dan sweater yang dihadiahkan oleh Kak Long Pidah. Saya amat berterima kasih di atas pemberiannya. Perihatin sekali terhadap saya.
"Awak bawa T-shirt lusuh dan baju kemeja abah ke ITM?

"Ya. Itu sahaja yang saya ada"

"Baju kemeja kotak-kotak itu agak baru. Baju abah juga?"

"Tidak..hadiah dari bekas cikgu sekolah"

"Nah. Ambil sweater ini. Masih baru. Baru di pakai sekali"
Tiket bas yang dibelikan oleh Maxxx akan berlepas pada pukul 9.30 malam. Dari Dungun ke Segamat akan memakan masa beberapa jam lamanya. Subuh nanti baru sampai ke destinasi.

Itu adalah pengalaman pertama saya menaiki bas ekspress secara bersendirian. Banyak perkara yang bermain-main di kepala. Sekali-sekala hati berdenyut nyilu kerana kegelisahan. Ia terpancar di wajah. Wajah yang pucat lesi. Kebimbangan yang ketara bagi seorang remaja kampung yang tidak pernah keluar jauh dari daerahnya.
"Bagaimana nanti kalau saya tidak terjaga di Segamat dan bas berlalu pergi terus ke JB?[Johor Bahru]. Cukupkah tambang untuk balik nanti?"
Monolog kepada diri.
"InsyaAllah! Mak, abah dan adik-adik...tunggu. Kita akan bertemu kembali walaupun hanya sehari sahaja kita sempat bertemu muka. Ketahuilah kalian semua, walaupun baru seminggu..rasanya bagaikan telah kehilangan kalian semua bertahun-tahun lamanya. Ya tuhan, saya tidak sanggup menanggung kerinduan begini terhadap keluarga"

Itulah yang berbisik di dalam hati.

Maxxx dan rakan baik hilang entah ke mana. Mereka sibuk menemui rakan-rakan lain yang akan pulang ke pangkuan keluarga. Saya hilang punca. Berdiri sendirian sedang hati bermain-main dengan perasaan.
"Assalamualaikum Raihan. Seorang sahaja?"
Sesaorang menyapa. Suara yang agak biasa. Saya menoleh ke arahnya.
"Ooo..abang fasilitator 2"

"Balik JB. Bandar baru Majidi?"
Saya merasa sangat bersalah kerana selama ini membiarkan sahaja abang fasilitator itu terus "terjun dengan labu-labunya". Beliau tidak langsung curiga bahawa data yang diberikan kerana sekotak rokok[click] dahulu adalah palsu semata-mata! Bersama-sama abang fasilitator 2 adalah "abang pemidato terbaik"[click] atau siswi mengelarkannya "abang biasiswa".

Bergetar jantung hati saya apabila melihat wajah abang biasiswa. Teringat banyak perkara yang tidak betul telah saya lakukan. Wajahnya yang serius mengusarkan. Perasaan "takut-takut" seorang siswi freshie kepada fasilitator masih jelas nyata. Namun, sedikit senyuman daripada abang biasiswa itu menghilangkan gugup saya.
"Errr..itu bukannya nama sebenar saya"

"Tidak mengapa. Cantik nama tu. Saya pun ada nama samaran juga. Kawan-kawan panggil saya Lu'E. Hendak balik ke mana?"
Tiba-tiba abang biasiswa mengambil alih teraju perbualan, membuatkan abang fasilitator 2 senyap terdiam seketika. Diam dan memberikan laluan.
"Segamat"

"Elok-elok di dalam bas. Jangan layan mana-mana lelaki. Ada baju tebal? Bas tu ada air-cond, sejuk nanti..."

Terdiam dengan pesanan yang tidak meminta saya menjawabnya.
"Awak sesuai memakai seluar dan sweater warna itu..pink. Sesuai sekali"

Ya tuhan. Apa yang boleh saya katakan. Tidak pernah seumur hidup ada orang memuji pemakaian saya sedemikian rupa. Inilah seluar panjang yang saya beli bersama seluar panjang hitam untuk menghadiri majlis malam perpisahan[click]. Hasil upah yang terkumpul dari warung Ucu Zainon. Bertahun-tahun saya mengimpikan sehelai seluar baru.
"Terima kasih"
Saya tersenyum, namun hati terasa sayu. Terasa tiada keikhlsan di dalam kata-kata itu. Terasa ia tidak benar-benar bermaksud begitu. Masakan seluar berwarna merah samar hasil jualan murah yang dibeli dengan separuh harga itu telah menambat hatinya. Lagipun, kata-kata yang keluar dari bibirnya amat lancar sekali. Pasti ia adalah cakap-cakap untuk menyukakan hati.

Sambil berjalan menuju ke bas Cepat Express Kuala Terengganu- Johor Baharu, saya berbisik di dalam hati;
"Boleh dipercayai kah lelaki seperti itu. Barangkali lain di mulut lain di hati?"

Thursday, November 12, 2009

Pulang

Keesokan harinya apabila terjaga, saya mendapati diri berada di tempat yang asing sekali. Saya berada di beranda atau ruang lapang di hostel yang lain. Terdapat beberapa pelajar siswi yang juga masih terbaring.
"Ya Allah, adakah saya juga tersampuk histeria? Burukkah rupa perangai ketika tidak sedar? Atau tersingkapkah kain sarung saya semasa kejadian?"

Ah! Malu sekali jika dikenangkan. Kata orang, selalunya histeria itu terhasil kerana kemasukan jin atau iblis ke dalam badan mangsa. Betulkah begitu? Tetapi jauh di sudut hati sebenarnya saya paling pasti kejadian histeria semalam lebih menjurus kepada ketidak seimbangan perasaan. Kepenatan, keletihan, perasaan tertekan, di buli dan berbagai perkara lagi yang tidak pernah dilalui sebelum ini.

Betulkah begitu? Tetapi kenapakah saya boleh pitam ketika mulut masih lagi kumat-kamit membaca ayat-ayat quraan.

Saya bingkas bangun dan segera menuju ke pintu hadapan kerana terlihat kelibat beberapa pelajar siswa di dalam bangunan yang sama.
"Ini Hostel lelaki?"

"Ya. Semua pelajar siswi yang terkena histeria kami bawa dan kumpulkan ke sini. Ada ustaz yang pulihkan awak semua malam tadi.."

"Err..ya. Terima kasih. Di mana arah hostel siswi?"

Di dalam keadaan masih pening-pening lalat, saya pulang menuju ke hostel. Keadaan hostel senyap sunyi. Ramai pelajar siswi baring bergelimpangan di ruang hadapan secara berkumpulan. Di dalam tangan masing-masing memegang surah Yaasin dan Al-Quraan.

Saya terus ke bilik. Kosong. Naik ke atas katil dan terus menyambung tidur. Sedar-sedar hari sudah tengahari. Itupun kerana dikejutkan oleh kakak-kakak fasilitator yang membuat pengumuman menggunakan alat pembesar suara.
"Kamu dibenarkankan pulang ke rumah masing-masing. Tiket bas boleh didapati di Dungun. Jika terdapat masalah, sila hubungi pihak HEP"

Tengahari itu semasa ke kafe, saya terserempak dengan Maxxx [bekas ketua kumpulan semasa minggu siswi - click Tawaran biasiswa]. Lalu memintanya membelikan tiket bas untuk balik ke Segamat. Dia bersetuju dengan syarat;
"Syarat apa? Mana boleh tolong orang bersyarat. Itu tandanya tidak ikhlas"

"Alah..saya ada benda nak hadiahkan kepada awak sebelum pulang. Pukul 3.oo petang ini saya akan bawa tiket itu. Jumpa nanti di library"

Tepat pada masanya, Maxxx datang berjumpa saya di foyer library. Baru sahaja saya bersama seorang rakan sebilik ingin beredar, Maxxx berkata;
"Tunggu sekejap. Saya hendak hadiahkan sesuatu..tetapi bukan di sini"

"Kenapa? Di sini sahaja lah.."

"Tidak boleh..di sini orang ramai. Saya tidak mahu semua orang dengar"

"Tidak payahlah bagi hadiah. Kami hendak pulang sekarang. Terima kasih di atas pertolongan.."

"Ok..ok mari kita ke sudut sana. Tempat menyimpan beg di library"

Saya dan rakan sebilik pandang memandang. Di dalam hati penuh debaran dan berbagai persoalan bermain di kepala. Akhirnya kerana sedikit simpati kami menuruti kehendaknya.
"Ok..dengarkan ini baik-baik..."

Hati saya terus berdebar-debar. Degupan jantung semakin kencang. Apakah yang bakal saya dengar sebagai suatu hadiah sebelum pulang? Lalu..
Emmmm..yeaaaaa
Aku terjaga dari tidur
Bagai terdengar suatu suara
yang lembut membisik pada ku
Pulanglah..

Termenung di pagi yang dingin
terkenangkan kampung halaman
terbayang wajah-wajah sayu
ku rindu..

laa..laa

(Nyayian Dato' Shake)

Tiba-tiba Maxxx menarik suara tinggi [naik syeikh barangkali] apabila sampai di tempat korus. Dia sudah tidak mempedulikan orang lain lagi. Orang ramai yang lalu lalang di sekitar library pandang-pandang dan senyum-senyum ke arah kami. Diantaranya adalah abang fasilitator 2 yang melintasi tempat kami yang sedang terpaku berdiri.

Darah menyirap naik ke muka. Malu gila!

"Ya Allah, minta simpang malaikat 44. Janganlah kiranya dia itu menjadi jodoh untuk saya!"